Banjir: Zuzanti runsing untuk hantar anak ke sekolah

Shuhada Abdul Kadir
Januari 8, 2022 16:51 MYT
Zuzanti Sapine buntu mengenangkan persiapan persekolahan empat orang anaknya musnah akibat banjir.
ALOR GAJAH: Musibah banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan di seluruh negara nyata memberi kesan mendalam kepada mangsa terjejas yang tentunya trauma dengan bencana itu.
Di sebalik keperitan ditanggung mangsa banjir apabila mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit selepas barangan keperluan rumah musnah, ada sisi lain yang turut menjadi beban kepada golongan ibu bapa.
Rata-rata mangsa banjir buntu mengenangkan persiapan persekolahan anak-anak turut musnah akibat banjir.
Bagi Zuzanti Sapine, 36, sesi persekolahan yang akan bermula lusa sangat merunsingkannya kerana dalam waktu yang singkat dia terpaksa menyediakan keperluan anak-anak.
Dalam masa sama, dia sangat ragu-ragu untuk menghantar anaknya ke sekolah.
Dia yang merupakan seorang ibu tunggal dan menetap di Kampung Pengkalan di sini, berkata, kesemua barang sekolah milik empat anaknya habis rosak direndam air banjir.
“Banjir kali ini cukup laju airnya sampai barang-barang rumah semua tak sempat nak diselamatkan, apatah lagi buku, baju sekolah anak-anak semua terendam.
“Empat anak saya dari yang lima tahun sampai 18 tahun itu semua tidak bersemangat nak ke sekolah sementara waktu ini dan mungkin minggu satu lagi baru naik sekolahlah,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya.
Tambah Zuzanti yang hanya berniaga kecil-kecilan berkata, dia amat mengharapkan ihsan mana-mana pihak untuk membantu menggantikan barangan keperluan sekolah anak-anaknya yang musnah akibat bencana itu.
“Dengan pendapatan saya tidak seberapa, banyak barang rumah nak diganti yang mana kalau dikira hampir puluhan ribu ringgit juga sebab banjir kali ini cukup luar biasa.
“Jadi kali ini memang harap sangat bantuan dari segi persekolahan anak-anak, itu yang paling utama pada saya sekarang ini,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap kerajaan dapat mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan kediamannya sejak tahun 2006.
Sementara itu, Exco Pendidikan Negeri, Datuk Rais Yasin ketika dihubungi berkata, seramai 150,405 pelajar di negeri ini akan kembali mengikuti sesi persekolahan secara fizikal pada Isnin ini.
Beliau berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 226 sekolah rendah dan 74 sekolah menengah.
Bagaimanapun, katanya, terdapat 15 daripada 19 buah sekolah yang sebelum ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir di negeri ini masih ditutup dan belum bersedia menerima kehadiran pelajar secara penuh.
#banjir #mangsa banjir #hantar anak ke sekolah #Zuzanti Sapine
;