Banjir: Warga KKMM zahir penghargaan sumbangan kotak kasih
Bernama
Disember 29, 2021 18:00 MYT
Disember 29, 2021 18:00 MYT
SEPANG: Panik dan kelam-kabut menyelamatkan barangan penting. Itu yang dirasakan Roslaini Mat Riffin bersama suaminya Kamarudin Said pada 18 Dis lepas, apabila berdepan pengalaman banjir buat kali pertama di Taman Intan Baiduri, di sini.
Roslaini, 50, petugas Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berkata itu adalah kali pertama banjir berlaku di kawasan perumahannya sepanjang 11 tahun beliau dan suami menetap di situ.
Menurutnya pada hari kejadian mereka hanya sempat menyelamatkan dokumen penting.
"Air naik sehingga paras paha dan banjir surut pada Rabu (22 Dis), diteruskan dengan kerja-kerja pembersihan pada hari sama dibantu oleh anak-anak dan rakan sekerja dari KKMM," katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan Kotak Kasih daripada Ketua Setiausaha (KSU) KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek, di sini hari ini.
Roslaini adalah antara warga KKMM yang terjejas akibat 'banjir luar biasa' di Sepang bermula 18 Dis lepas yang menyebabkan puluhan mangsa mengalami kerosakan harta benda dan tempat tinggal.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada KKMM atas sumbangan berupa makanan dan barangan penjagaan kendiri itu, yang disampaikan oleh Mohammad kepada 12 keluarga di Sepang, Dengkil dan Klang di kediaman masing-masing hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian (Kewangan) KKMM Hasan Muda pula merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohammad kerana sudi meluangkan masa menziarahi warga kerja kementerian itu yang menjadi mangsa banjir.
"Sumbangan KKMM hari ini amat saya alu-alukan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban akibat banjir. Kehadiran KSU membuktikan yang beliau prihatin dengan nasib warga kerja yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini," katanya.
Selain itu, kakitangan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Samiyah Mohd Sarip juga berterima kasih kepada KKMM dan warga kerjanya yang sudi menziarahinya dan menyerahkan sumbangan Kotak Kasih.
"Banjir kali ini memang paling teruk dan tidak sangka akan menenggelamkan rumah saya, apa-apa pun saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur," katanya.
Antara yang menerima sumbangan tersebut adalah warga kerja KKMM, MDEC, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta CyberSecurity Malaysia (CSM) dan mereka turut menerima bantuan wang tunai daripada Kelab KKMM dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (PCKKMM).
Sehingga kini, sebanyak 2,518 Kotak Kasih KKMM diserahkan kepada warga kementerian itu serta penduduk yang terkesan dengan bencana banjir.
-- BERNAMA
#banjir
#KKMM
#Kementerian Komunikasi dan Multimedia
#Taman Intan Baiduri
#Mohammad Mentek
#bencana banjir
#Kotak Kasih KKMM