Banjir: Warga emas hidap kanser tidak mahu berpindah ke PPS

Bernama
Disember 17, 2021 23:11 MYT
Tengku Mat Yunuf Tengku Mat Rani, 60, (dua, kiri) bersama ahli keluarganya, Nik Shellina (kanan) dan Tengku Feah (kiri) melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kediaman mereka dilanda banjir malam tadi. - Gambar/ Bernama
DUNGUN: Seorang warga emas yang menghidap kanser usus memutuskan untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun rumahnya di Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun di sini, dinaiki air banjir sehingga paras betis, awal pagi tadi.
Tengku Feah Jalil, 74, berkata hanya anaknya Nik Shelina Awang, 51, berpindah ke PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja pada 4 pagi tadi, selepas hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan air naik mendadak.
"Keadaan makcik yang bergantung kepada beg stoma bagi membuang air sangat menyukarkan untuk berpindah, jadi makcik memutuskan untuk tinggal di bahagian atas rumah. Memang kalau banjir teruk pun makcik tidak akan ke pusat pemindahan.
"Ini banjir pertama bagi musim tengkujuh kali ini kerana biasanya kalau pertengahan Disember, rumah makcik sudah tiga atau empat kali dinaiki air. Hujan semalam pun adakala lebat dan adakala renyai jadi makcik ingatkan tidak banjir tetapi tidak sangka pula sebelum subuh tadi air naik mendadak," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun, di sini, hari ini.
Namun, kata Tengku Feah jika air naik terlalu tinggi, anaknya akan kerap meninjau keadaannya yang berada di tingkat atas rumah setinggi 1.8 meter itu dengan menaiki bot fiber yang dibeli beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Nik Shelina berkata pada tahun ini beliau mengambil pendekatan menyimpan barangan rumah di dalam kolam ikan plastik bersaiz lima kaki persegi yang boleh terapung apabila banjir.
"Barang di rumah ini semua bersaiz kecil dan mudah diangkat. Jadi semua saya letak di dalam dua buah kolam ikan plastik. Rumah saya juga sudah lama tidak ada perabot kerana tidak mahu membazir beli perabot yang akhirnya akan rosak akibat banjir," katanya.
Banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu bermula hari ini menyaksikan 63 orang daripada 14 keluarga terpaksa berpindah ke PPS di tiga daerah iaitu di Dungun, Setiu dan Kemaman, setakat petang ini.
-- BERNAMA
#banjir terengganu #pesakit kanser #enggan pindah #PPS
;