Banjir: Warga emas berdepan detik cemas bot penyelamat terbalik
Nur Fazlizai Ali
Februari 28, 2022 08:30 MYT
Februari 28, 2022 08:30 MYT
HULU TERENGGANU: Tiga keluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka ditenggelami banjir sehingga ke paras bumbung rumah.
Menurut Nor Mazni Mohd Nawi, 52, situasi itu adalah yang terburuk sepanjang tempoh 30 tahun dia menetap di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu.
Jelasnya air mulai naik pada pagi Ahad dan keadaannya semakin meruncing pada sebelah malam menyebabkan dia dan keluarga berpindah ke rumah ayahnya yang terletak berhampiran.
Bagaimanapun mereka terpaksa menghubungi pihak penyelamat apabila melihat paras air mula meningkat sehingga ke bahagian loteng rumah ayahnya.
"Air naik mendadak, kita pindah rumah ayah. Ketika itu air sudah memasuki rumah.
"Ingatkan air akan naik sampai separuh tingkap sahaja. Tiba-tiba sampai ke atas loteng. Terus kami telefon bomba suruh mari," katanya.
Sementara itu, bagi warga emas Mariam Jusoh, 82, dia masih terkejut apabila bot penyelamat yang dinaiki pada petang Ahad terbalik ketika proses pemindahan.
"Perasaan macam mana, takut, itu yang mak cik jadi ketar macam ini.
"Apabila terbalik, mak cik tertelan air banjir jugalah. Tak terpijak tanah. Anggota polis datang, pegang mak cik kuat-kuat. Sampai sekarang ketar tak hilang lagi," katanya.
Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu menyebabkan 660 keluarga di Hulu Terengganu terjejas.
25 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu bagi menempatkan seramai 2,160 mangsa.