Banjir: Wanita warga emas terputus hubungan dengan anak ditemukan selamat
Bernama
November 30, 2024 06:45 MYT
November 30, 2024 06:45 MYT
KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas yang terputus hubungan dengan anaknya sejak dua hari lepas akibat bencana banjir ditemukan selamat di sebuah pondok pengajian Gelang Mas, Pasir Mas bersama mangsa lain, semalam.
Anak perempuan kepada warga emas berusia 71 tahun itu sebelum ini membuat hantaran di laman sosial TikTok selepas buntu kerana tidak dapat menghubungi ibunya.
Dalam hantaran terbaharu di akaun TikTok yang menggunakan nama Sufia Syahida, dia menyatakan ibunya ditemukan di pondok pengajian tersebut dan dalam keadaan selamat.
Menerusi hantaran itu, dia bersyukur selepas ibunya ditemui oleh seorang penduduk yang sebelum ini meminta gambar warga emas itu untuk dicari di dua tempat mangsa banjir berkumpul.
"Saya bersyukur akhirnya dapat berhubung dengan ibu selepas kira-kira dua hari tidak dapat khabar berita daripada dia. Terima kasih kepada semua yang membantu," katanya.
Bernama sebelum ini melaporkan beberapa individu didapati meminta bantuan menerusi media sosial TikTok bagi menyelamatkan keluarga mereka yang terperangkap di rumah akibat banjir di negeri ini.
-- BERNAMA