Banjir: Wanita ditemukan maut dipercayai lemas di Penampang

Bernama
Julai 1, 2024 13:50 MYT
Mangsa banjir, Hii Ding Wei, mengiringi mayat isterinya yang ditemukan maut dipercayai lemas dalam kejadian banjir di Penampang. - Foto Bernama
PENAMPANG: Seorang wanita berusia 37 tahun ditemukan maut dipercayai lemas dalam kejadian banjir di Penampang pagi ini, setelah hilang dihanyutkan arus deras malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata mangsa dijumpai kira-kira 500 meter dari tempat dia dihanyutkan arus deras itu di sekitar persimpangan Jalan Penampang Bypass di sini pada 8 pagi.
Beliau berkata pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan, namun berdepan cabaran arus deras dan air pasang.
"Kita teruskan operasi mencari dan menyelamat pada 6 pagi tadi melibatkan dua pegawai dan empat anggota polis, tujuh pegawai dan 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta 10 anggota bomba.
"Mayat mangsa ditemukan tersangkut di pagar dan pokok bunga," katanya kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang di sini hari ini.
Sammy berkata dalam kejadian itu, mangsa yang berasal dari sini dipercayai cuba meredah kawasan arus deras dalam keadaan air pasang pada waktu kemuncak sehingga mencapai paras pinggang malam tadi.
Beliau berkata kes kematian pertama dalam kejadian banjir di Penampang itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
"Kita nasihatkan kepada masyarakat supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.
Banjir yang dipercayai berlaku akibat hujan lebat berterusan tengah hari semalam hingga malam tadi menyebabkan 112 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang pagi ini.
-- BERNAMA
#wanita maut #hilang dihanyutkan arus deras #banjir Penampang #lemas
;