Banjir: UMT hantar 400 sukarelawan bantu mangsa di Selangor, Pahang

Astro Awani
Disember 22, 2021 07:50 MYT
Mazlan (tengah) berkata kesemua sukarelawan itu akan menjalankan aktiviti pembersihan pasca banjir. - Astro AWANI
KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menghantar seramai 400 sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, penghantaran sukarelawan itu akan dijalankan secara berperingkat ke negeri terjejas banjir bermula 25 hingga 27 Disember ini.
Menurut Mazlan pasukan tersebut diselaras di bawah Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), UMT dan akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam.
Jelasnya lagi, kesemua sukarelawan itu akan menjalankan aktiviti pembersihan pasca banjir.
"Masing-masing ada masalah untuk mencuci sebab tekanan air sangat rendah dan juga masalah perkakasan yang tidak ada di kedai.
"Penyapu pun tidak ada, mop tidak ada, sebab semua orang nak pakai benda itu. Jadi, permintaan tinggi, tetapi stok tidak ada.
"Ini masalahnya sekarang. Jadi kita bawalah alat-alat yang mudah dibawa ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMT juga memberi cuti khas berikutan bencana kepada semua pelajarnya bermula 19 sehingga 25 Disember ini.
Mazlan berkata, tempoh tersebut adalah 'masa bertenang' khususnya bagi pelajar atau kakitangan yang terlibat dengan musibah tersebut.
Tambahnya lagi, pihak UMT kini sedang mengenal pasti mereka yang terlibat dengan bencana itu.
#sukarelawan #mangsa banjir #umt #bantu
;