Banjir: Tukang cuci bersihkan sekolah sebelum rumah sendiri
Bernama
Disember 30, 2023 19:38 MYT
Disember 30, 2023 19:38 MYT
PASIR MAS: Atas rasa tanggungjawab terhadap kerjayanya, seorang tukang cuci di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Falah di Kampung Siram di sini sanggup datang seawal 7 pagi untuk membersihkan sekolah itu yang terjejas banjir sebelum rumahnya sendiri.
Rugayah Ahmad @ Ahmat, 54, yang berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 13 tahun lepas berkata menjadi kewajipan buat dirinya untuk membersihkan sekolah itu sebelum sesi persekolahan bermula Selasa ini.
"Wajib bagi saya untuk selesaikan urusan di sini (sekolah) terlebih dahulu, kemudian baru saya boleh bersihkan rumah sendiri yang terletak kira-kira 500 meter dari sini.
"Peralatan seperti meja dan kerusi mesti dibersihkan terlebih dahulu. Sebelum pelajar kembali, saya mesti pastikan semuanya sudah siap," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Ibu kepada enam cahaya mata itu turut meluahkan rasa sedih kerana menjumpai banyak al-Quran, buku dan barangan milik pelajar rosak akibat banjir yang mencecah paras tingkap bilik darjah.
"Air naik dengan laju tempoh hari, kami tidak sempat selamatkan (barangan berkenaan)," katanya menceritakan keadaan banjir yang melanda kawasan itu sejak Selasa lepas.
Lebih menarik, abang sulung Rugayah iaitu Muhammad Navi, 57, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah sama turut hadir membantu adiknya itu.
Muhammad Navi yang telah memantau keselamatan sekolah sejak hari pertama banjir berharap air akan surut sepenuhnya sebelum Selasa agar pelajar dapat menuntut ilmu dengan selesa.
"Kalau air terus surut pada kadar sekarang, insya-Allah sekolah ini dapat dibuka semula. Saya harap sempat kerana banyak lagi yang perlu dibuat.
"Kawasan sekolah perlu dibersihkan sebelum ia dibuka. Kebiasaannya akan ada ramai yang datang membantu bila air dah surut," katanya.
-- BERNAMA