Banjir: TNB henti sementara bekalan elektrik di Pahang
Ehsan A Marisah
Januari 9, 2021 09:53 MYT
Januari 9, 2021 09:53 MYT
TEMERLOH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberhentikan sementara bekalan elektrik di kawasan terjejas akibat banjir di Pahang.
Pengurus Besar Negeri Pahang, Bahagian Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Baderul Sham Saad, berkata tindakan tersebut bagi memastikan keselamatan pengguna dan kakitangan TNB susulan bencana alam itu.
"Bilik gerakan TNB telah mula beroperasi pada 3 Januari 2020 dan staf TNB terlibat dalam operasi banjir selama 24 jam ini seramai 270 anggota.
"Ketika ini juga anggota TNB Pahang turut menerima bantuan daripada staf TNB Selangor untuk bersama-sama memulihkan bekalan selepas banjir surut," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Dalam pada itu, TNB bersama dengan Suruhanjaya Tenaga mengambil inisiatif mengedarkan infokit atau risalah (pamphlet) keselamatan terutama dekat pusat pemindahan sementara (PPS) di Jerantut, Temerloh, Raub dan sekitar Kuala Lipis.
TNB turut menasihati dan menekankan agar orang ramai berwaspada sepanjang musim banjir dan patuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Pengarah Wilayah Suruhanjaya Tenaga, Teratai @ Zainab Leman, berkata pihaknya sentiasa mengambil inisiatif memberi kesedaran mengenai aspek keselamatan elektrik.
"Pengetahuan dan risiko mengenai bahaya elektrik semasa banjir penting bagi memastikan keselamatan orang ramai daripada terkena renjatan," katanya.
Hubungi TNB sekiranya wujud kejanggalan berkaitan pepasangan TNB akibat banjir di cawangan TNB berdekatan atau TNB Careline 15454 serta Facebook TNB Careline.
*Artikel ini adalah kandungan berbayar.
#banjir
#TNB
#PPS
#Pahang
#Pusat Pemindahan Sementara
#temerloh
#Suruhanjaya Tenaga
#Datuk Baderul Sham Saad
#TNB Careline
#operasi
#Tenaga Nasional Berhad