KUCHING: Semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah dan bahagian di Sarawak perlu meningkatkan persediaan dalam menghadapi kemungkinan banjir susulan musim Monsun Timur Laut, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, hal ini termasuk memastikan stok bekalan makanan dan barangan keperluan lain mencukupi di pusat penyimpanan makanan masing-masing.

Beliau berkata, aspek lain seperti kemudahan dan tenaga kerja juga perlu bersiap sedia.

"Kita mahu semua jabatan ini dalam keadaan berjaga-jaga," katanya dalam kenyataan selepas menghadiri taklimat situasi banjir di negeri ini di sini hari ini.

Uggah berkata, beliau juga telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memberi tumpuan terhadap sebarang kerosakan jalan raya yang telah atau akan terputus akibat banjir nanti.

"Jalan-jalan ini... akan diliputi dengan lubang dan berbahaya untuk semua pengguna. Saya telah mengarahkan JKR untuk bersiap sedia, bersedia untuk membaiki atau membina semula jalan supaya orang ramai akan kurang terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Uggah berkata, mereka yang tinggal berdekatan sungai perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

"Tolong dengar sebarang arahan daripada pegawai kami yang memantau di lapangan. Jangan teragak-agak untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara atau tempat yang lebih tinggi jika anda dinasihatkan berbuat demikian. Ini penting demi keselamatan anda dan keluarga anda," katanya. - BERNAMA