Banjir: Tingkah laku diperhati, rakyat akan hukum ahli politik pada PRU15 - Penganalisis
Irwan Muhammad Zain
Disember 28, 2021 18:47 MYT
Disember 28, 2021 18:47 MYT
KUALA LUMPUR: Bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri membuatkan rakyat melihat tingkah laku ahli-ahli politik tanpa mengira parti.
Sehubungan itu, penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub menegaskan, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, rakyat akan menghukum ahli-ahli politik yang dilihat lebih mahukan publisiti ketika banjir berbanding membantu mangsa.
Menurut Mohammad Tawfik, kekesalan rakyat tambah berganda apabila melihat ahli-ahli politik hanya datang ke kawasan banjir ketika air sudah mula surut.
"Bagaimana seorang wakil rakyat itu menunjukkan bahawa mereka itu berjiwa rakyat kalau turun ke kawasan dengan seluar dan baju yang bersih dan hanya melambai-lambai dari dalam kereta dan hanya datang ke kawasan ketika air sudah surut?
"Saya tidak mampu menghadam sikap wakil rakyat yang hanya memikirkan jawatan mereka sehingga rakyat mengadu dan merayu kepada pelbagai pihak termasuk NGO seolah-oleh tidak ada peranan wakil rakyat yang sepatutnya menjaga mereka.
"Peranan wakil rakyat itu cukup besar, bukan hanya setakat hanya menjaga jawatan, bukan hanya fikirkan kehidupan selepas pilihanraya atau ketika kempen.
"Mana boleh kita ada pemimpin yang bercuti dan bermain salji di luar negara ketika rakyat sedang susah?" tegasnya dalam temu buakl bersama Astro AWANI.
Dalam masa sama, beliau berpendapat, kaedah kerajaan dan ahli politik yang mahu bermesyuarat dan menubuhkan jawatankuasa untuk membantu rakyat amat tidak berkesan ketika bencana melanda.
Selain itu, Mohammad Tawfik mencadangkan agar rombakan Kabinet perlu dilakukan dengan segera bagi menukar menteri-menteri yang terbukti tidak efisien.
"Tukar menteri-menteri yang lemah... yang tidak mampu untuk merasai denyut nadi rakyat. Ini perlu dilakukan segera kerana kita tidak mahu barah yang boleh merebak ke seluruh organ Kabinet itu boleh menghancurkan kerajaan.
"Perdana Menteri perlu segera bertindak untuk membuat rombakan Kabinet dan meletakkan mereka yang mampu bekerja untuk memulihkan keyakinan rakyat," katanya lagi.
Beliau juga mencadangkan agar peranan masyarakat sivil dan media dihargai kerana terbukti rakyat lebih banyak bergantung kepada kelompok ini berbanding ahli politik.
Tambah Mohammad Tawfik lagi, kerenah birokrasi yang menyulitkan rakyat memohon bantuan membuatkan rakyat marah dan kecewa dengan kerajaan dan ahli politik juga amat dikesalkan.