Banjir: Tiga PPS khas disediakan di Kuala Krai untuk pesakit COVID-19

Bernama
Disember 19, 2021 10:27 MYT
Sebanyak 22 PPS dibuka dengan menempatkan lebih 900 mangsa banjir di jajahan Kuala Krai setakat pukul 9 pagi ini. - Gambar fail
KUALA KRAI: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Krai telah menyediakan bilik khas khusus untuk mangsa banjir yang positif COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin kendiri bagi membendung penularan wabak COVID-19 di jajahan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yahya Petra 1, SK Manek Urai Baru dan SK Dabong.
Katanya, kesemua pesakit COVID-19 ini akan ditempatkan di PPS berkenaan dan diasingkan daripada mangsa banjir yang berada di PPS tersebut.
"Sekiranya ada dalam kalangan mangsa banjir yang positif COVID-19 di jajahan ini, kita akan hantar pesakit ke PPS khas ini, yang berdekatan dengan kawasan mereka.
"Walaupun belum ada pesakit COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir dilaporkan berada di PPS berkenaan tetapi kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di Kampung Manek Urai Lama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Rizwan Ar-Rafee berkata PPS ini dikawal oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikendalikan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai dan anggota Rela sekiranya terdapat mangsa positif di PPS tersebut.
"Apabila ada mangsa ditempatkan di bilik itu, PKD akan mengawasinya supaya tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian penuh (set) perlindungan diri semasa bertugas.
"Selain itu, mereka turut dibantu oleh agensi-agensi yang terlibat seperti polis dan bomba," katanya.
Beliau berkata, saringan ujian kendiri kepada mangsa banjir yang berpindah turut dijalankan sebaik sahaja mereka mendaftar masuk di PPS bagi mengenal pasti tahap kesihatan mereka.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Rizwan Ar-Rafee berkata lebih 20 perkampungan kecil di Kuala Krai telah dilanda banjir seperti Kampung Manek Urai, Kampung Mesek, Kampung Gajah dan Kampung Bedal berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.
Katanya, sebanyak 22 PPS dibuka dengan menempatkan lebih 900 mangsa banjir di jajahan tersebut setakat pukul 9 pagi ini.
-- BERNAMA
#PPS #banjir #Kuala Krai #pesakit COVID-19
;