Banjir: 'Tidur tak lena, berdebar-debar fikirkan gelombang kedua' - Penduduk Pekan

Fareez Azman
Januari 2, 2022 19:06 MYT
Rata-rata penduduk dilihat telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sekiranya berlaku gelombang banjir kedua. - Foto Astro AWANI
PEKAN: Ketika banjir masih melanda beberapa daerah di Pahang, penduduk di daerah Pekan pula mula khuatir dengan keselamatan mereka apatah lagi dengan kemungkinan tibanya gelombang kedua banjir.
Ia berikutan aliran sungai dari beberapa daerah yang masih banjir, dijangka dibawa ke Sungai Pahang dalam tempoh terdekat.
Astro AWANI ke Kampung Temai yang lokasinya bersebelahan Sungai Pahang antara kawasan terjejas teruk pada 18 Disember lalu.
Rata-rata penduduk dilihat telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Bagi Abdul Shukur Mutalib, 52, kesemua barangan rumahnya telah diangkat ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak rosak jika bah melanda sekali lagi di kampung berkenaan.
"Bagi kita yang pernah berlaku apabila limpahan air dari Mentakab, Jerantut, Maran sampai ke Pekan akan beri satu banjir besar.
"Sebelum ni tahun 2014 dan 2018 air sungai daripada sana (ke Sungai Pahang). Selepas gelombang pertama, gelombang kedua kita dah bersedia, barang semua dah angkat tetapi tidak bawa turun ke bawah lagi macam almari, perabot, televisyen," jelasnya.
BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Berdebar memikirkan gelombang kedua
Tambah Abdul Shukur, dia sentiasa merasa berdebar apabila setiap kali hujan, bimbangkan gelombang kedua membadai kawasan kampung itu.
"Gelombang kedua agak tekanan kepada kita yang ulang alik kerja (guna jambatan), memang kita berdebar-debar macam mana air nak naik, adakah macam gelombang pertama atau macam mana.
"Kita tunggu air dari Mentakab, Maran, Temerloh, walaupun gelombang kedua kalau hujan sekali pun selamat. Tetapi kalau air daripada Maran, Temerloh, Mentakab turun habislah banjir paras lantai rumah," jelasnya lagi ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Pemerhatian di sekitar kawasan kampung itu masih terdapat air genang akibat bah tempoh hari, namun pagi tadi jelas penduduk, air mulai naik di beberapa kawasan.
Meskipun struktur rumah di kampung ini tinggi, namun penduduk masih khuatir keselamatan mereka kerana tinggal di pinggiran Sungai Pahang.
Banjir | Perkembangan banjir di Pekan, Pahang sehingga pukul 3 petang Ahad
Tidur tak lena
Sementara itu, Muhammad Nur Syazani Abdul Jamalulai, 24, berkata dia dan keluarga tidak dapat tidur lena memikirkan gelombang kedua banjir.
"Kami dalam mod berjaga-jaga, sebab air makin naik, kalau tak perasan habislah. Hari itu (18 Disember) air naik awal pagi, memang naik dah laju, petang dah sampai tangga kedua, sempat dapat selamatkan sikit barang," katanya.
Menceritakan detik cemas itu, jelas Muhammad Nur Syazani, setiap jam dia akan keluar melihat tahap air Sungai Pahang di hadapan rumahnya.
"Tidur tu memang tak lena betul, kita kena tengok air paras mana. Kalau rasa tak selamat, kita kena pergi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Hari ini pun naik sikit (paras Sungai Pahang)," katanya lagi.
Mengikut info terbaharu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang, sehingga kini, lapan stesen sungai mencatatkan paras melepasi tahap waspada.
Manakala 13 lagi stesen sungai melepasi tahap amaran dan lima stesen sungai melepasi tahap bahaya.
#Banjir 2021 #Pekan #gelombang kedua #Sungai Pahang
;