Banjir: Tidak sempat tunai hajat beli lembu untuk kenduri kesyukuran masuk rumah baharu

Adie Sufian Zulkefli
Disember 21, 2021 09:12 MYT
Keadaan lori yang dipandu Mohd Zaidi ketika melalui Jalan Simpang Desa Coalfields, Kuala Selangor, Selangor, pada pagi Ahad. - Astro AWANI
PADANG TERAP: Hasrat membeli seekor lembu untuk kenduri kesyukuran memasuki rumah baharu tidak kesampaian apabila Mohd Zaidi Ariffin, 45, ditemui lemas selepas lori yang dipandunya tenggelam di dalam air banjir ketika melalui Jalan Simpang Desa Coalfields, Kuala Selangor, Selangor, pada pagi Ahad.
Menurut isterinya, Siti Sofiah Md Yazid, 42, rumah mereka telah hampir siap dibina bersebelahan rumah ibunya di Kampung Kubang Bemban dekat Padang Terap.
Siti Sofiah berkata, suaminya sudah lebih lima tahun berkerja sebagai pemandu treler di syarikat beras di Bukit Raya, Pendang.
Jelasnya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah suaminya adalah pada Sabtu lalu dan hanya menyatakan dia ingin menghantar beras tetapi arwah langsung menunjuk sebarang perubahan.
Siti Sofia berkata, suaminya ada memaklumkan dia akan pulang pada malam tersebut dan tidak menyangka pulang sebagai jenazah.
"Jangka itu tahun inilah, nak beli lembu, dia cadang nak beli dia kata seekor lembu tu nak buat kenduri duduk rumah baharu," katanya.
Siti Sofiah yang hanya seorang suri rumah dan mempunyai lima anak berusia antara 2 hingga 17 tahun, kini hilang tempat bergantung.
Katanya, dia redha dengan apa yang berlaku kerana tidak menyangka sama sekali suaminya menjadi korban dalam kejadian banjir besar pada kali ini.
Sementara itu, ibu arwah, Saibah Ahmad, 65, berkata, dia terima ketentuan takdir kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu, walaupun terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan arwah buat kali terakhir.
Katanya, minggu lepas arwah datang ke rumah dan berjumpa dengan adik lelakinya mengirim wang belanja kerana ketika itu Saibah keluar menoreh getah di kebun.
"Ketika dia datang itu, mak cik keluar menoreh getah.
"Dia datang untuk mengirim wang belanja RM200. Itu kali terakhir," katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tandop Besar, Tekai Kanan jam 10 malam Ahad.
Jasad Mohd Zaidi ditemui mati lemas semasa cuba menyelamatkan diri daripada lori yang dipandunya selepas dinaiki air di Bandar Sri Coalfield, Selangor pada jam 4.50 pagi Ahad.
BACA: Kenderaan ditenggelami air, pemandu lori maut akibat lemas
Jasad ditemui pada jam 5.10 petang Ahad oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan Bestari Jaya kira-kira lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
#banjir #pemandu lori #lemas #kenduri kesyukuran
;