Banjir: Tidak mampu bergerak sendiri, tukang rumah diselamatkan bomba

Nur Fazlizai Ali
Januari 8, 2021 06:54 MYT
Safari Osman diusung anggota bomba ke PPS selepas rumahnya dinaiki air banjir. - Astro AWANI
KEMAMAN: Sudahlah terlantar sakit selepas terjatuh dari ketinggian, kini rumahnya pula dinaiki air.
Itulah situasi yang terpaksa dilalui seorang tukang rumah yang tinggal di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman selepas kediamannya dilanda banjir pada Rabu.
Menurut isterinya Hasnah Hanafi, paras air yang meningkat secara mendadak menyebabkannya cemas apatah lagi mengenangkan keadaan suami yang terlantar sakit,
Hasnah yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, keadaan suaminya, Safari Osman yang terlantar selepas jatuh ketika membaiki bumbung pada 22 Disember lalu menyebabkan dia cemas apabila melihat air mula memenuhi pekarangan jalan di hadapan rumah.
“Suami saya tidak mahu menyusahkan orang dan memandangkan keadaannya ketika ini, saya mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal. Risau juga melihat keadaan air banjir seperti yang berlaku pada tahun 2013,” jelasnya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata bimbang keadaan semakin parah dia segera menghubungi pasukan penyelamat untuk berpindah.
Katanya jika air makin meningkat pasti menyukarkan pasukan penyelamat untuk membantu mereka apatah lagi suami yang tidak mampu bergerak sendiri.
Hasnah berkata, banjir yang melanda kali ini membuatkan dia teringat bencana sama yang berlaku pada 2013.
Katanya jika sebelum ini suaminya yang menjadi tonggak jika berlaku bencana banjir seperti ini, namun pada kali ini ianya berbeza dengan keadaan suami itu.
Hasnah bersama suami dan tiga anak mereka dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman.
Pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan sukarelawan sebelum itu mengusung Safari ke dalam lori sebelum dibawa ke PPS Dewan Berlian MPK Kemaman yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya.
#banjir #mangsa #bomba #Bandar Baru Bukit Mentok #Kemaman #Hasnah Hanafi #paras air #Safari Osman
;