Banjir: Tiada sekolah menengah ditutup di Sabah
Eleanor Michelle Patrick
Januari 20, 2021 08:00 MYT
Januari 20, 2021 08:00 MYT
TELIPOK: Tiada sekolah menengah ditutup di Sabah susulan bencana banjir baru-baru ini.
Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin, setakat hari ini, kesemua calon SPM dan STPM akan memulakan sesi persekolahan seperti biasa membabitkan jumlah seramai 51,294 orang pelajar.
"Ada yang bertanya tentang banjir semalam, setakat ini tiada sekolah menengah yang ditutup kerana banjir.
"Setiap hari kami kutip data itu pukul 10 pagi dan pukul 4 petang," kata Mistirine ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Telipok, Sabah, pada Rabu.
Untuk rekod, setakat Selasa, lebih 10 daerah di negeri ini terlibat banjir sejak 11 Januari lalu dengan daerah Pitas, Kota Belud, Beaufort dan Kota Marudu antara yang teruk terjejas.
Mistirine dalam lawatan berkenaan sempat melakukan tinjauan rapat tahap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan COVID-19 di sekolah-sekolah yang dibuka bermula hari ini.
"Bagi sekolah SOP bukan lagi cabaran sebab sebelum ini pun kita pernah mengalaminya, dan tidak ada kes jangkitan (COVID-19) direkodkan berlaku di sekolah di negeri Sabah.
"Jadi itu satu yang berita yang baik, tapi kita harap kali ini pun begitu jugalah tidak ada jangkitan berlaku di sekolah," tambah beliau.
Beliau dalam pada itu menjelaskan pihaknya amat menghargai usaha Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan yang menyediakan proses saringan secara percuma di asrama-asrama beberapa sekolah menengah di negeri ini bermula 16 Januari lalu.
#tiada sekolah menengah ditutup di Sabah
#bencana banjir
#Pengarah Pendidikan Negeri Sabah
#calon SPM dan STPM
#sesi persekolahan
#Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Telipok
#Mistirine Radin