Banjir: Tiada pilihan, mereka mungkin terpaksa dipindahkan - Hasanuddin
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 24, 2021 17:00 MYT
Disember 24, 2021 17:00 MYT
HULU LANGAT: Memandangkan keadaan hakisan sungai Hulu Langat yang semakin kritikal dan membahayakan penduduk yang tinggal di sepanjang tebing, Ahli Parlimennya, Datuk Hasanuddin Yunus memberi bayangan bahawa mereka mungkin perlu dipindahkan.
Jelas beliau, sebelum ini kerajaan negeri dan kerajaan pusat sememangnya telah berbincang untuk menaik taraf keadaan Sungai Hulu Langat sehingga ke Sungai Kuala Langat.
"Kita menyedari keperluan itu dan jika kita lihat, keadaan yang berlaku tidak memungkinkan mereka untuk terus kekal tinggal di situ kerana bahaya.
"Bagaimanapun kita masih perlu terus mengadakan perbincangan dengan pemilik rumah berkenaan walaupun itu adalah tanah rezab kerajaan. Ia tentunya membabitkan emosi apatah lagi dalam keadaan sekarang," katanya kepada Astro AWANI yang ditemui ketika melakukan lawatan ke sekitar kawasan bencana.
Tambah beliau lagi, sebelum ini kerajaan negeri dan kerajaan pusat telahpun bersetuju untuk berkongsi kos dengan masing-masing menanggung kos menaik taraf sungai terbabit sebanyak 50 peratus.
"Ia masih dalam proses untuk dinaik taraf, dan kita harap ia akan terlaksana sedikit masa lagi. Apa yang penting, kita uruskan dulu keperluan mangsa banjir ketika ini," katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan serta menghulurkan bantuan kepada penduduk Hulu Langat sejak bencana banjir berlaku.
Bagaimanapun, beliau berharap agar agensi kerajaan yang bertanggungjawab menangani banjir dapat melakukan persiapan awal di daerah itu sekiranya perlu menghadapi gelombang kedua banjir nanti.