Banjir: Tiada kes baharu COVID-19 di PPS, 180 kes penyakit berjangkit dikesan
Astro Awani
Disember 23, 2021 19:21 MYT
Disember 23, 2021 19:21 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada kes baharu COVID-19 dikesan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Sekali gus jumlah kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 390 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata pihaknya mengesan 180 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir hari ini.
"Pecahan kes penyakit berjangkit yang melibatkan mangsa banjir pada 23 Disember adalah Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) terdapat 80 kes, penyakit kulit (57), Acute Gastroenteritis (42) dan konjunktivitis (1)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemantauan itu dilakukan melibatkan 384 PPS di tujuh negeri yang terjejas banjir iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka.