Banjir: 'Tetap menaruh harapan temui ayah selamat'
Sinar Harian
Disember 27, 2021 07:15 MYT
Disember 27, 2021 07:15 MYT
BENTONG: Keluarga mangsa yang dihanyutkan arus deras dalam kenderaan ketika melalui Jambatan Temelong di sini pada 18 Disember lalu masih menaruh harapan tinggi.
Mohamad Zulhelmi Ahmad, 32, berkata, dia tetap setia menunggu ayahnya, Ahmad Yahya, 71, dari Felda Chemomoi di sini yang merupakan salah seorang mangsa dan masih belum ditemui sehingga kini.
Menurut Mohamad Zulhelmi, dari hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, dia tetap sabar dan berdoa agar ayahnya ditemui dengan selamat.
"Saya turut serta dalam operasi mencari di tempat kejadian bersama orang lain.
"Sedih memang sedih, namun kami sekeluarga amat berharap dapat menemuinya segera dalam apa jua keadaan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Anak bongsu dari lima beradik itu berkata, operasi SAR akan ditamatkan pada Selasa.
"Jika tidak jumpa, kami sekeluarga akan berusaha mencari dengan usaha sendiri," katanya.
Menceritakan kejadian cemas kira-kira jam 11 malam itu, Mohamad Zulhelmi bersama 13 ahli keluarga menaiki tiga buah kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras.
"Kami semua terpaksa berendam dengan berpaut pada pokok kelapa sawit sebelum diselamatkan anggota bomba kira-kira jam 7 pagi Ahad.
Mohamad Zulhelmi yang bekerja sendiri juga kehilangan ibunya, Rokiah Ismail, 69, dan kakaknya, Siti Zaitun Ahmad, 50, yang mayatnya ditemukan pada Isnin.
Difahamkan, seramai 10 orang berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu dan lima masih hilang.
*Berita asal di Sinar Harian