Banjir termenung: Penduduk resah aktiviti harian terganggu
Bernama
Disember 17, 2023 17:10 MYT
Disember 17, 2023 17:10 MYT
MARANG: Banjir 'termenung' sejak hampir sebulan lepas meresahkan lebih 50 penduduk di Kampung Rawai, di sini yang menghadapi kesukaran menjalankan aktiviti harian berikutan halaman rumah mereka digenangi air.
Seorang penduduk Mohd Zaid Ngah, 52, berkata banjir termenung yang menjejaskan kira-kira 11 rumah di kampung itu, disebabkan laluan air dan sistem perparitan tersumbat dipercayai ekoran projek pembangunan berhampiran.
Keadaan itu, katanya menyebabkan dia yang juga pesakit strok, tidak dapat keluar bagi mendapatkan rawatan dan membeli makanan apabila jalan keluar masuk ke rumahnya dinaiki air hingga ke paras paha sejak Terengganu dilanda banjir gelombang pertama 20 Nov lepas.
"Kalau hujan, air akan naik di jalan hingga ke paras pinggang dan kini airnya hanya surut pada paras paha, jadi kereta saya masih tidak boleh lalu. Hampir sebulan juga saya tidak keluar untuk mengurut tangan dan kaki kiri yang tidak boleh digerakkan akibat strok pada 2019.
"Barang makanan di rumah pun hampir habis, hanya tinggal beras sahaja kerana dua adik lelaki saya yang tinggal bersama juga tidak dapat keluar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi Ramlah Sidek, 45, banjir termenung yang berlarutan hampir sebulan itu pertama kali dihadapinya sejak tinggal di kawasan tersebut sembilan tahun lepas.
"Sebelum ini memang biasa banjir hingga ke paras betis di dalam rumah dan paras pinggang di halaman rumah, tetapi air akan surut dalam dua atau tiga hari tidaklah sampai sebulan seperti sekarang.
"Saya terpaksa mendukung anak yang berumur sembilan tahun untuk keluar dari kawasan rumah ke sekolah kerana risau bajunya basah, manakala anak saya yang berumur 16 tahun terpaksa memakai selipar terlebih dahulu untuk ke sekolah," katanya.
Ramlah berkata air setinggi paras betis yang bergenang di halaman rumahnya menyebabkan dia terpaksa meninggalkan kereta di tempat lebih tinggi kira-kira 300 meter dari rumah.
Situasi itu, katanya menyukarkan untuk dia membawa anak sulungnya, Nur Nabila Syuhada Sufian, 17, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal menjalani pemeriksaan di hospital dan bimbang anaknya itu diserang sawan ketika mengharungi air.
Siti Aisyah Awang, 38, pula berkata dia begitu risau dengan kesihatan tiga anaknya yang berusia antara sembilan tahun dan dua bulan kerana terpaksa mengharungi banjir yang tercemar akibat limpahan air daripada tangki septik yang terletak di depan rumah mereka.
"Ada anak saya yang mengalami sakit kulit di bahagian kaki selepas mengharungi air. Saya yang baru bersalin pada penghujung Oktober lepas juga terpaksa mengharungi banjir setiap hari selama dua minggu untuk membawa bayi ke klinik kerana demam kuning," katanya.
Sehubungan itu, Siti Aisyah merayu kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah mereka termasuk meluaskan dan menyelenggara sistem perparitan di kampung itu dengan lebih baik.
-- BERNAMA