Banjir: Terima kasih Skuad Antidadah, sudi hadir diwaktu sukar - Penduduk

Astro Awani
Disember 23, 2021 16:01 MYT
Penduduk yang terlibat dengan musibah banjir zahir ucapan penghargaan buat Skuad Antidadah. - Foto Astro AWANI
HULU LANGAT: “Kami terkedu, terduduk dan tidak tahu hendak mula dari mana."
Itu ungkapan dizahirkan penduduk yang terlibat dengan musibah banjir ketika tinjauan dilakukan di Taman Seri Nanding, Selangor hari ini.
Meskipun menganggap bencana itu sebagai satu ujian, namun ia bagaikan mimpi yang sukar untuk dilupakan.
Seorang penduduk, Heliza Azizan, 40, menyifatkan kejadian banjir itu yang paling buruk berlaku sejak tinggal di taman tersebut.
“Sebelum ini pernah berlaku banjir tapi tidak seteruk ini sehinggakan kami terduduk apabila melihat keadaan rumah tidak ubah seperti tsunami selepas air surut.
“Kami buntu dekat mana mahu mula, tetapi nasib kami baik, ada pihak yang ringan tulang seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) datang hulur bantuan saat kami memerlukan. Terima kasih sukarelawan Skuad Antidadah,” katanya di sini pada Khamis.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Izzuddin Ahmad Bahrin, 28, memberitahu, bantuan tenaga yang dihulurkan pihak luar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) benar-benar membangkitkan semangat untuk teruskan kehidupan.
“Kami amat memerlukan bantuan tenaga selain barangan keperluan harian seperti makanan dan pakaian untuk mulakan hidup semula.
“Semua barang kebanyakannya musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Kami harap ada pihak yang sudi bersama-sama kami seperti Skuad Antidadah,” katanya.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 21,385 mangsa banjir (5,510 keluarga) dicatatkan di Selangor setakat semalam, meningkat sedikit berbanding sebelumnya iaitu 21,047 (5,274 keluarga) dengan kesemua mereka ditempatkan di 117 pusat pemindahan sementara (PPS).
#Banjir 2021 #Skuad Antidadah #Hulu Langat #mangsa banjir
;