Banjir Terengganu: Penduduk cemas paras air naik mendadak
Sharom Abu Bakar
November 27, 2017 06:05 MYT
November 27, 2017 06:05 MYT
Kenaikan paras air banjir secara mendadak mencemaskan penduduk di beberapa buah kampung di daerah Hulu Terengganu di sini sejak lewat malam tadi.
Paras air mula naik kira-kira jam tujuh malam Selasa dan meningkat 0.2 hingga mencecah hampir satu meter.
Usaha memindahkan penduduk terjejas dilakukan secara berperingkat.
Antara penduduk yang dipindahkan termasuk dari Kampung Bukit Tok Mek, Lubuk Toman, kawasan perkampungan Bukit Kolam yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara membabitkan 486 mangsa di daerah itu.
Menurut seorang mangsa, Zaitun Zulkifli, ketika banjir berlaku dia hanya berada seorang di rumah dan tiada tempat untuk menyelamatkan diri tetapi mujurlah ada bantuan daripada pihak berkuasa untuk bertindak segera.
“Rasa takut juga sebab air laju, jadi saya duduk seorang, suami tiada, berasa takut, sebab air tengah laju sebab kita duduk tepi sungai,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata,operasi memindahkan mangsa berjalan lancar walaupun berdepan pelbagai kesukaran.
“Kerja-kerja pemindahan pada waktu pagi ni sedikit sukar, pergerakan agak perlahan disebabkan keadaan yang terlalu gelap jalan sempit dan arus yang terlalu laju,” katanya.
1,209 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu termasuk 338 anggota bomba sukarela bersiap sedia sepanjang musim tengkujuh.
48 bot termasuk bot kevlar, bot aluminium dan bot fiber disediakan bagi memantapkan lagi jentera pasukan, selain menambah 38 kenderaan lasak dan utiliti untuk operasi banjir.
Pesawat udara juga ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai, Marang untuk kegunaan Zon Timur sepanjang bencana.