Banjir Terengganu: Kediaman mangsa musnah, hanyut akan dibina semula - Hanafiah Mat
Astro Awani
Disember 29, 2022 07:30 MYT
Disember 29, 2022 07:30 MYT
BESUT: Kerajaan akan membina semula kediaman mangsa yang musnah dan hanyut akibat dibadai banjir luar jangka yang melanda Kampung La, Besut sejak 18 Dis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara itu diperincikan di peringkat negeri dan agensi berkenaan bagi membantu mangsa yang terbabit.
Menurutnya, ketika ini, keluarga yang terlibat disaran untuk mencari rumah sewa buat sementara waktu dan membuat permohonan pembiayaian sewa daripada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sehingga rumah mereka siap dibina.
"Untuk 13 rumah yang di Besut, kerajaan bersetuju supaya memohon dengan MAIDAM untuk dapatkan sewa rumah sementara. Biar mereka cari rumah dan dibayar oleh MAIDAM.
"Manakala rumah yang rosak itu, kerajaan minta supaya kita berbincang dengan MAIDAM dan JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan), untuk bina baru. Jadi, setakat ini, itu perjalanan yang kita ambil," katanya.
Jelas Hanafiah, 13 keluarga tersebut antara mangsa yang kehilangan tempat berteduh berikutan bencana alam yang menyaksikan lebih 1,000 penduduk Kampung La terjejas.
Sementara itu, situasi banjir di Terengganu semakin pulih apabila hanya 36 mangsa daripada lapan keluarga masih berlindung di satu pusat pemindahan sementara (PPS) daerah Besut.
Kesemua mangsa ditempatkan di Masjid Kampung La.