Banjir Terengganu: JBPM atur gerak 2 helikopter dalam misi bantuan
Vivi Sumanti
Disember 20, 2022 09:30 MYT
Disember 20, 2022 09:30 MYT
KOTA BHARU: Berikutan banjir yang semakin buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang, dua buah helikopter telah diatur gerak ke lokasi yang terputus hubungan bagi tujuan bantuan pemindahan mangsa dan penghantaran bekalan.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) PgKB Roslan Aziz berkata helikopter model Mi-17-IV dan AW139 ditempatkan di Pangkalan Hadapan Operasi Wilayah (Regional Forward Operation Base) di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai Terengganu bermula semalam.
"Diperkuatkan dengan lapan anak kapal bersama enam Pasukan Khas Udara (PASKUB), mereka akan melakukan misi-misi bantuan kemanusiaan dan logistik serta bersiap siaga bagi sebarang keperluan kecemasan seperti MEDIVAC dan SAR.
"Pesawat juga bersedia untuk memindahkan aset logistik banjir seperti bot dan peralatan penyelamatan melalui udara," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, empat buah helikopter lagi diletakkan dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi bencana banjir di lokasi lain di pantai barat dan selatan Semenanjung, termasuk satu pesawat di Borneo.
Banjir buruk di Terengganu menyaksikan Besut terputus hubungan dengan Rantau Panjang dan Pasir Puteh di Kelantan mengalami nasib sama.