SETIU: Seorang pesakit kronik yang bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak terpaksa dipindahkan menggunakan bot dan trak Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan rawatan dialisis.

Bantuan daripada pasukan penyelamat itu diperlukan selepas laluan kediaman pesakit yang berusia 56 tahun di Kampung Sri Bayas, Setiu ditenggelami air dan menyukarkan untuk mendapatkan rawatan di Bandar Permaisuri, Setiu pada Sabtu.

Noraini Hassan terpaksa meredah laluan sejauh sejauh kira-kira 2.5 kilometer untuk ke jalan utama dengan menaiki bot APM sebelum dipindahkan ke atas trak dan dibawa menaiki ambulans untuk ke pusat dialisis.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, sepanjang lebih 30 tahun menetap di kampung berkenaan, dia tidak pernah berpindah kerana kediamannya berada di tempat yang tinggi.

Bagaimanapun banjir kali ini membuatkannya gusar dengan keadaan kesihatan serta mengenangkan rawatan dialisis yang perlu dilakukan selepas laluan untuk keluar telah dinaiki air.

"Ini pertama kali jadi begini. Disebabkan sakit ini mak cik terpaksa keluar terima rawatan," katanya.

Noraini yang turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis terpaksa bergantung bantuan kerusi roda, suami dan anak untuk bergerak sejak dua bulan yang lalu.

Jelasnya lagi, dia juga dilanda resah setiap kali hujan lebat melanda kerana tidak dapat berjalan seperti sebelum ini.