Banjir Terengganu: 28 penduduk dipindahkan di Kemaman

Astro Awani
Februari 7, 2023 10:15 MYT
Setakat jam 8 pagi, paras Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.80m berbanding paras normal 15m. - Foto Facebook/Cikgu Razak Ibrahim
KEMAMAN: Terengganu menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) mula diaktifkan di daerah Kemaman.
Susulan itu seramai 28 mangsa telah terjejas selepas kediaman mereka mula digenangi air.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu setakat ini, seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor.
Manakala, tiga mangsa daripada satu keluarga pula dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.
Ketika ini, keadaan cuaca mendung di kebanyakan kawasan di negeri ini.
Sementara itu, setakat jam 8 pagi, paras Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.80 meter (m) berbanding paras normal 15m.
Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping pula direkodkan melepasi paras amaran.
Manakala Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman melepasi paras waspada.
#banjir #mangsa #Sungai #paras bahaya
;