Banjir: Tarikh peperiksaan SPM tak akan dilewatkan, KPM yakin mampu urus

Hasimi Muhamad
Disember 2, 2024 12:55 MYT
Azman Adnan (dua, kiri) membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong di sini pada Isnin. - Gambar/ Astro AWANI
JERTEH: Kementerian Pendidikan (KPM) berpandangan tiada keperluan untuk melewatkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan musim banjir di beberapa negeri pada hujung tahun disebabkan Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata KPM mempunyai mekanisme untuk menangani isu banjir dan kesiapsiagaan menghadapi MTL.
Katanya, jadual peperiksaan telah disusun dengan sebaik-baiknya dengan mengambil kira pelbagai faktor.
Jelas beliau, jika penangguhan dibuat, ia akan menjejaskan proses-proses lain untuk para pelajar termasuk kemasukan ke peringkat universiti.
“Setiap tahun negara dilanda dengan musibah bencana seperti banjir ini dan KPM juga selama ini mempunyai mekanisme untuk menangani isu-isu banjir yang terkait dengan peperiksaan khususnya SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Kita ada pekeliling berkaitan Ops Payung dan kita juga telah melaksanakan setiap tahun berkaitan mekanisme kesiapsiagaan untuk menghadapi MTL dan kita yakin bahawa setiap tahun kita mampu menangani isu-isu peperiksaan pada musim banjir ini.
“Pakej dalam peperiksaan SPM ini di mana anak-anak kita akan menduduki ujian lisan bahasa Melayu, ujian lisan bahasa Inggeris, ujian amali Sains, dan peperiksaan bertulis.
“Bermula hari ini dengan ujian lisan bahasa Melayu dan mulai 2 Januari hingga 6 Februari, akan menduduki ujian bertulis,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azman berkata pihaknya yakin mampu menguruskan isu yang berlaku pada musim banjir termasuk menggerakkan aset dan pengoperasian bagi menguruskan para pelajar.
“Malam tadi saya jumpa ramai calon SPM dan mereka sangat teruja kerana kementerian, masyarakat, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) sentiasa menyokong mereka.
“Keprihatinan masyarakat menyebabkan semangat mereka tinggi,” ujarnya.
Dalam masa, beliau berkata elemen psikososial calon-calon peperiksaan akan diutamakan khususnya ketika berdepan bencana.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) diarah untuk menggerakkan pasukan sokongan termasuk guru bimbangan dan kaunseling bagi memastikan aspek psikososial murid-murid berada pada tahap yang baik.
Seramai 402,956 calon berdaftar akan menduduki peperiksaan SPM 2024 yang bermula 2 Disember sehingga 6 Februari 2025.
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini
#SPM #monsun timur laut #banjir2024 #KPM #terkini
;