Banjir, tanah runtuh akibat hujan lebat di Kuching-Sri Aman
Astro Awani
Disember 22, 2019 12:05 MYT
Disember 22, 2019 12:05 MYT
Hujan yang turun sejak jam 1 pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di Kuching dan Sri Aman terjejas.
Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin, antara yang terjejas termasuklah laluan Pan Borneo di kawasan Sungai Tenggang, Jalan Kuching-Sri Aman.
"Tinjauan pihak kita mendapati banjir berlaku kerana pembentung di kawasan tersebut tersumbat, menyebabkan air sungai melimpah keluar dari Sungai Tenggang.
"Pemantauan di lokasi mendapati laluan tersebut kini boleh dilalui dan air mula surut biarpun hujan lebat masih turun," katanya.
Difahamkan, akibat banjir kilat tersebut, beberapa kenderaan terperangkap di dalam air.
Namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran Kampung Rayu, laluan ulang alik Jalan Matang Wildlife.
Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pergerakan tanah cukup besar menyebabkan kenderaan dari kedua-dua hala tidak dapat dilalui.
" Pihak kita menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.23 pagi tadi dan mendapati masih ada pergerakan tanah di lokasi.
" Sebanyak dua unit tiang ‘over head cable’ di lokasi didapati terjejas.
Setakat ini katanya, kejadian tiada melibatkan sebarang kecederaan mangsa.
Rumah terhampir dari lokasi adalah sekitar 80 meter, tambahnya lagi.
Kerja-kerja pemantauan masih dilakukan, sebelum urusan mengalihkan tanah dilakukan.