Banjir: Tambah baik kesiapsiagaan, ambil contoh rakyat Filipina hadapi bencana - NADMA

Madiha Abdullah
Oktober 6, 2022 16:00 MYT
Malaysia perlu mengambil contoh sikap rakyat Filipina yang dilihat sangat bersedia ketika berdepan dengan Taufan Noru, baru-baru ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Aspek kesiapsiagaan orang awam perlu ditambah baik dalam menghadapi bencana seperti banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jamil Derus Ahmad berkata, Malaysia perlu mengambil contoh sikap rakyat Filipina yang dilihat sangat bersedia ketika berdepan dengan Taufan Noru, baru-baru ini.
"Jentera pengurusan bencana kerajaan telah mengambil banyak langkah, lebih-lebih lagi pada tahun ini selepas beberapa kejadian.
"Di fasa pra bencana, kita anjurkan latih amal dan simulasi pengurusan bencana di segenap peringkat, bertujuan untuk mempertingkatkan pemahaman setiap agensi berkenaan peranan menguruskan bencana dan mewujudkan sinergi antara agensi.
"Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti juga dilaksanakan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap bencana serta peranan mereka sebagai initial responder di lapangan.
"Walaupun kita ada pihak polis, tentera, bomba dan sebagainya tetapi apabila satu bencana melanda, orang pertama yang perlu bertindak ialah penduduk.
"Kita lihat di Filipina yang dilanda bencana Taufan Noru baru-baru ini, mangsa yang maut tidak sampai 20 orang walaupun taufan itu kategori 4.
"Ini kerana mereka sudah biasa berdepan dengan taufan, jadi mereka sudah faham tindakan yang perlu diambil," katanya dalam webinar berjudul "Cabaran Perubahan Iklim: Bersediakah Kita?" sempena Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut 2022/2023, pada Khamis.
Dalam masa yang sama, pihak berwajib disarankan memberi lebih perhatian terhadap aspek pembangunan jangka panjang kerana ia berisiko meletakkan Malaysia sebagai kawasan bencana.
"Aspek pembangunan perlu dibuat dengan lebih teliti, (sekarang ada) buat rumah di dataran banjir dan lembangan sungai. Banyak kerosakan telah berlaku, menjejaskan wetlands dan kawasan bakau.
"Secara logiknya, kita semakin menjurus (menjadi) kawasan yang bencana, seperti di Bangladesh, Pakistan, kita lihat rumah dibina betul-betul di tepi sungai.
"Kalau taufan melanda, tidak ada tempat nak lari. Di Malaysia, kita masih bernasib baik kerana penduduk belum sampai 100 juta, masih ada tanah. Apa yang kita perlukan ialah persediaan dengan lebih komprehensif dan pembangunan jangka panjang perlu diberi perhatian," jelasnya.
#banjir #Malaysia #taufan #siapsiaga #persediaan #bencana #NADMA
;