Banjir Taman Sri Muda: Mayat dua beranak dibawa keluar - Polis
Astro Awani
Disember 20, 2021 16:44 MYT
Disember 20, 2021 16:44 MYT
SHAH ALAM: Dua lagi mayat dipercayai dua beranak menjadi mangsa korban terbaharu insiden banjir di Lembah Klang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang mengesahkannya memberitahu, mangsa dipercayai berusia antara 70 dan 90 tahun.
Mayat kedua-dua mangsa itu katanya, ditemukan di kawasan Seksyen 25, Sri Muda kira-kira pukul 4 petang.
Jumlah mangsa terkorban di Selangor dicatat pada sembilan orang setakat ini.
Terdahulu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad mengesahkan tiga mangsa ditemui lemas dan seorang ditemui meninggal dunia di ruang atas rumah.
Dua lagi mangsa bencana dipercayai terkorban di Dengkil, Sepang dan seorang lagi di Desa Coalfields, Kuala Selangor.
Seorang lagi mangsa banjir dikhuatiri masih hilang, kata Nor Hisham dalam satu sidang media di Pusat Operasi Menyelamat di Sri Muda di sini, pada Isnin.
Kru Astro AWANI sedang berada di lokasi untuk memantau perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat di kawasan banjir.