Banjir Taiping, 10 keluarga dipindahkan

Abd Razak Mohd Ali
November 9, 2020 22:06 MYT
Keadaan banjir di Batu 7, Kampung Changkat Baru, Matang, dekat Taiping, malam tadi. - Foto JBPM Perak
TAIPING: Seramai 48 orang dari 10 keluarga di Batu 7, Kampung Changkat Baru, Matang dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dilanda banjir.
Mereka terdiri daripada 15 lelaki dewasa, 17 wanita dewasa dan masing-masing lapan kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.55 malam tadi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati air dari sungai berhampiran telah melimpah menyebabkan banjir di kawasan tersebut.
Menurutnya, kesemua mangsa telah dipindahkan ke PPS di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al-Baraqah, Taiping dan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Keadaan banjir dilaporkan mulai surut.
#banjir #pindah #PPS #Sungai #air sungai melimpah #Taiping #JBPM Perak #NADMA #Kampung Changkat Baru #matang