Banjir: Syarikat telekomunikasi diarah pastikan menara, talian komunikasi kekal berfungsi
Bernama
Oktober 16, 2024 21:00 MYT
Oktober 16, 2024 21:00 MYT
KUALA SELANGOR: Syarikat telekomunikasi diarah menyediakan set janakuasa mudah alih untuk ditempatkan di menara-menara telekomunikasi yang dikenal pasti berada di kawasan sering dilanda banjir.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata langkah itu diputuskan oleh kementerian bagi memastikan menara telekomunikasi berkenaan kekal berfungsi sekiranya berlaku gangguan elektrik akibat bencana alam itu.
Beliau berkata walaupun hanya mungkin mampu bertahan sekitar empat atau lima jam sahaja, namun kesiapsiagaan itu sedikit sebanyak dapat mengelakkan gangguan perkhidmatan talian telekomunikasi dalam suasana getir tersebut.
"Perkhidmatan komunikasi merupakan perkhidmatan asas dan kita akan pastikan kawasan dilanda banjir tidak mengalami gangguan berterusan. Sekurang-kurangnya masalah komunikasi tidak menjadi isu kepada mangsa dan juga pasukan penyelamat...jika banjir berlaku, kita telah ada penyelesaian segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWAN sempena sambutan Hari Deepavali kepada bekas penterjemah akhbar Malaysia Nanban K. Loganathan di kediamannya di Bestari Jaya di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Teo berkata penyediaan set janakuasa mudah alih itu akan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan ia dapat digunakan sementara waktu sekiranya menara pemancar mengalami gangguan.
Sementara itu beliau turut meminta orang ramai agar tidak menyebar berita yang tidak sahih terutama berkaitan situasi cuaca yang tidak menentu ketika ini yang dikhuatiri boleh mengundang kegusaran awam.
Teo berkata pihaknya mendapat kerjasama baik daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam membantu memantau dan memadam berita palsu yang tersebar, namun cabaran untuk mengatasi sepenuhnya situasi itu sememangnya cukup mencabar.
"Kita akui cabaran yang dihadapi tentang penyampaian berita palsu ini adalah, ia (berita palsu) menjadi lebih tular berbanding penjelasan daripada pihak berkuasa, jadi kita harap orang ramai lebih prihatin dengan tidak menyebarkan berita-berita sedemikian," katanya.
-- BERNAMA