Banjir: Sultan Ibrahim, anakanda berkenan lawat mangsa di PPS

Astro Awani
Januari 3, 2022 16:48 MYT
Sultan Ibrahim (tengah) berkenan berangkat menyantuni penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS SK Mawai di Kota Tinggi hari ini. Gambar BERNAMA
KOTA TINGGI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di sini, hari ini.
Baginda yang tiba di pekarangan SK Mawai pada pukul 12.15 tengah hari meluangkan masa kira-kira 20 minit mendengar taklimat berkaitan banjir dan melihat sendiri keadaan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan.
Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan makanan tengah hari kepada mangsa yang terlibat.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Sultan Johor yang memandu sendiri kenderaannya turut berkenan melawat dua lagi PPS di SK Telok Ramunia, Pengerang dan SK Semangar yang turut menempatkan mangsa terjejas akibat banjir.
[LAPOR LANGSUNG] Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada
Tiga PPS dibuka di daerah Kota Tinggi semalam dengan keseluruhan 174 mangsa terdiri daripada 51 keluarga dipindahkan.
PPS SK Mawai yang dibuka pada pukul 2 petang semalam pula menempatkan 117 mangsa daripada 36 keluarga penduduk kampung Mawai manakala PPS SK Telok Ramunia dibuka pada pukul 7.30 pagi menempatkan empat keluarga dengan 16 penduduk Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang.
Sebuah lagi PPS di Kota Tinggi dibuka di SK Semanggar pada pukul 7 petang semalam dengan 41 mangsa daripada 11 keluarga penduduk Kampung Semangar Dalam dipindahkan.
#banjir #Sultan Johor #Sultan Ibrahim #Kota Tinggi
;