Banjir Sri Tanjung: Anak dukung ibu redah banjir cari makanan
Hilmi Malik
Disember 24, 2021 08:30 MYT
Disember 24, 2021 08:30 MYT
DENGKIL: Tragedi banjir yang melanda di sekitar Shah Alam ternyata merupakan insiden yang terburuk berlaku di daerah itu, dengan beberapa lokasi utama menjadi tumpuan.
Bagaimanapun, kawasan Kampung Sri Tanjung, di sini, seakan terlepas pandang oleh pihak berkuasa apabila penduduknya dikhabarkan tidak menerima sebarang bantuan dari pihak berwajib.
Berkongsi detik sukar, Azeman Kasudin berkata, dia terpaksa mendukung ibunya meredah banjir pada paras dada untuk mendapatkan bekalan makanan.
"Perkara paling sedih apabila saya terpaksa dukung ibu saya meredah banjir untuk cari makanan.
"Sudah masuk beberapa hari di sini (Sri Tanjung), kami masih belum terima sebarang bantuan daripada pihak berkuasa.
"Keadaan rumah sangat teruk. Lumpur masih tebal. Jadi, saya terpaksa pindahkan ibu ke rumah keluarga lain," katanya ketika ditemui Astro AWANI awal pagi ini.
Ujarnya lagi, meskipun paras air telah surut namun keadaan di kawasan tersebut memerlukan bantuan pihak sewajarnya.
Keadaan lumpur yang menebal menyebabkan pihaknya sukar untuk menetap di rumahnya.
Azeman juga berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Shan Abdullah, namun masih belum memperoleh sebarang bantuan.
Astro AWANI difahamkan, sebahagian besar penduduk di Sri Tanjung tidak menerima sebarang bantuan berbanding lokasi lain yang terjejas di Selangor.
Tinjauan ke lokasi tersebut dilakukan berikutan aduan yang diterima orang awam mengenai situasi di kawasan itu.