Banjir Sri Muda: Penduduk akan dikeluarkan jika cuaca bertambah buruk - Polis
Hilmi Malik
Disember 22, 2021 19:11 MYT
Disember 22, 2021 19:11 MYT
SHAH ALAM: Kesemua mangsa banjir yang enggan berpindah akan dibawa keluar sekiranya keadaan cuaca kembali bertambah buruk.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, setakat ini mereka masih dibenarkan untuk terus berada di kediaman mereka.
"Kita benarkan mereka berada di rumah dalam keadaan berjaga-jaga disebabkan cuaca tidak menentu.
"Kalau cuaca bertambah buruk kita akan keluarkan semua penduduk untuk dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), katanya ketika sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, situasi paras air di beberapa kawasan tertentu masih berada pada paras pinggang selain kenderaan juga sukar untuk memasuki kawasan tersebut.
[LAPOR LANGSUNG] 2 lagi mayat ditemui, korban di Taman Sri Muda kini 14 orang
Untuk rekod, sebanyak 14 kes kematian yang dilaporkan akibat banjir di sekitar daerah Shah Alam.
Ini termasuk penemuan dua lagi mayat yang merupakan anak-beranak masing-masing berusia 76 dan 48 tahun setakat jam 6 petang.
Ujar Baharudin, penemuan mayat berkenaan merupakan hasil aduan ahli keluarga berikutan mangsa yang gagal dikesan.
Menyentuh mengenai mangsa banjir di Shah Alam, seramai 4,276 telah berjaya diselamatkan.
Daripada jumlah itu, 4,080 mangsa telah dihantar ke PPS manakala bakinya memilih untuk terus kekal di rumah.