PUCHONG : Kerja-kerja menebuk benteng bagi mengalirkan banjir genang atau 'air termenung' di sekitar Taman Sri Muda dekat sini, ke Sungai Klang akan bermula esok.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad, selain penebukan benteng, sebanyak 21 pam air juga akan digunakan bagi mempercepatkan proses mengeluarkan air banjir di kawasan terjejas.

"Salah satu sebab air bertakung, adalah sebab Sungai Klang di kawasan itu berpusing... ia melengkung, sungai itu ada benteng dibina di sekitar kawasan itu.

"Jadi ada dua cara kita nak pastikan yang mereka dalam kawasan tidak terperangkap kerana air (banjir genang)... kita alirkan air tersebut (keluar ke sungai). Pertama kita tebuk tebuk benteng... tebuk senang tapi kena bina balik.

"Jadi kita tebuk dan (kedua) kita sedut air ke tempat lain," jelasnya.

Kerja-kerja penebukan benteng itu tambah Abdul Latiff akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Bagaimanapun lokasi penebukan benteng itu akan dimuktamadkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Tragedi banjir Selangor: Bencana ragut 10 nyawa, satu masih hilang


Cerita Sebalik Berita: Perkembangan semasa di Taman Sri Muda

Mengulas mengenai banjir yang melanda Sri Muda, kata Ahli Parlimen Mersing itu berkata, bencana itu unik dan mencabar kerana berlaku di kawasan penempatan yang padat.

"Banjir di Sri Muda agak unik, hujan dah tiada selama 48 jam tapi air walaupun surut tapi masih bertakung.

"Kawasan Taman Sri Muda sangat padat, mempunyai bilangan keluarga dan kawasan penempatan yang berbeza-beza.

"Ada rumah teres, apartmen dan kondominium... jadi cara pengurusan tidak sama kalau kita urus banjir di kampung tradisi atau di bandar," jelasnya lagi.

Bagaimanapun ujarnya, fokus pihaknya ketika ini adalah menyelesaikan banjir di kawasan terbabit yang kini diklasifikasikan sebagai krisis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Kawalan Bencana Negara, Markas SMART di Puchong pada Isnin malam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Pengarah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Sehingga kini, kira-kira 2,000 penduduk di Taman Sri Muda dianggarkan masih berada di kediaman masing-masing, antaranya kerana enggan berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) atas faktor bimbang jangkitan COVID-19.