Banjir: SPRM buka kertas siasatan kes kolam takungan air - Azam Baki

Bernama
Januari 4, 2022 22:51 MYT
Azam berkata SPRM akan menyiasat melibatkan pelbagai aspek termasuklah unsur rasuah dan salah guna kuasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan enam kolam takungan banjir di sekitar ibu negara yang diluluskan ditukar status untuk projek pembangunan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata SPRM akan menyiasat melibatkan pelbagai aspek termasuklah unsur rasuah dan salah guna kuasa.
"Setakat ini, belum ada lagi mana-mana individu yang akan dipanggil (berhubung isu ini). Kes ini disiasat di bawah Akta SPRM 2009," katanya kepada Bernama hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Tiga air pasang besar diramal berlaku sehingga Februari
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa SPRM agar mengambil tindakan segera berhubung dakwaan terbabit yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam berkenaan.
Beliau juga dilaporkan berkata Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBKL) 2020.
-- BERNAMA
#Banjir 2021 #SPRM #Azam Baki #kolam takungan banjir
;