Banjir: SKMM telah diminta tambah baik akses internet, telefon di PPS - Fahmi
Astro Awani
Disember 21, 2022 15:42 MYT
Disember 21, 2022 15:42 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan dan menambahbaik akses rangkaian internet dan telefon di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mengambil kira pandangan pihak media dan aduan orang ramai yang terjejas akibat bencana itu.
"Datuk Seri KSU juga memaklumkan, banyak PPS yang telah diaktifkan ini telah sedia dengan peralatan WIFI, maka kita akan minta SKMM berkomunikasi dengan syarikat telco untuk mengaktifkan Wifi di PPS.
"Kepada media yang membuat liputan di lapangan dan berdepan masalah, boleh berhubung terus dengan pejabat saya untuk kita segera selesaikan masalah terutama di PPS," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau telah mengingatkan SKMM untuk meneliti semua menara telekomunikasi di kawasan terkesan akibat banjir.
"Ini supaya apabila (banjir) surut, menara ini boleh digunakan segera. Jika ada perlu dibaiki ia boleh dilakukan segera.
"Kita nak apabila kerja pembersihan dilakukan , rangkaian telekomunikasi yang juga terjejas itu akibat banjir dapat dibaik pulih dan mereka dapat guna telekomunikasi pada kadar segera," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah berhubung dengan syarikat telco untuk memastikan maklumat dapat disampaikan dengan baik terutama mereka yang tinggal dalam lokasi banjir.
"Ia bagi memastikan NADMA dapat sampaikan maklumat secara SMS kepada lokasi-lokasi spesifik yang mungkin banjir. Itu kita akan pastikan dapat berfungsi dengan baik,' ujarnya.