Banjir: Situasi di Jeram Toi, Sungai Klawang terkawal, penduduk jangan panik - Bomba
Bernama
Januari 2, 2022 23:44 MYT
Januari 2, 2022 23:44 MYT
SEREMBAN: Penduduk yang berada di Jeram Toi dan sekitar Sungai Klawang, Jelebu dekat sini diminta tidak gusar dan panik mengenai dakwaan banjir di kedua-dua kawasan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu Mohd Fazzil Mohd Yunus berkata hasil pemantauan udara menggunakan dron oleh pihaknya bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) petang tadi mendapati paras air sungai di kawasan tersebut masih terkawal.
"Mesej yang ditularkan mengatakan akan berlaku banjir di situ (Jeram Toi dan sekitar Sungai Klawang) hanyalah langkah persediaan sekiranya hujan berterusan.
"Kadang-kadang mesej berantai ditularkan dan ada yang ditokok tambah sehingga menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat. Tiada apa-apa isu, kami bersama JPNS sudah membuat pemantauan petang tadi dan situasi berada dalam keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata selain bomba, semua anggota pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia di daerah itu sedang bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Hari ini, tular dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp bahawa banyak pokok tumbang dan terkumpul di Jeram Toi selain penduduk di kawasan sekitar diminta bersedia sekiranya berlaku banjir dan segera memaklumkan kepada ketua kampung masing-masing.
-- BERNAMA