Banjir: Siapa yang 'sampah' sebenarnya?

Hilmi Malik
Disember 29, 2021 18:57 MYT
Penduduk terpaksa menggunakan khidmat kontraktor luar untuk pembersihan sisa sampah pukal yang lebih cepat. - Foto Astro AWANI
HULU LANGAT: Keadaan pascabanjir sememangnya memberikan kesan yang besar di kawasan terjejas khususnya sisa sampah pukal tersadai yang memerlukan pembersihan segera.
Bercakap mengenai nasib mangsa banjir, keadaan ini merupakan situasi yang perlu didepani kesemua mangsa namun ia menjadi masalah sekiranya berlarutan sekian lama tanpa sebarang tindakan pantas.
Mengambil contoh situasi di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor di mana penduduk mendakwa proses pembersihan pascabanjir di kawasan itu dianggap perlahan.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir menyatakan, pihaknya telah menggerakkan sebahagian besar asetnya bagi memastikan timbunan sampah dapat diselesaikan segera.
“Kawasan Taman Sri Nanding contohnya kita dah tempatkan 48 lori RORO KDEB dan kita telah berusaha keras untuk pastikan semua sampah dapat dikeluarkan segera.
“Kita gunakan jentera kita sendiri termasuk 10 jentera pengorek untuk kutip semua sampah di kawasan kediaman.
“Operasi pembersihan di kawasan ini agak terganggu apabila kenderaan yang tersadai menghalang laluan keluar masuk taman jadi proses pembersihan mungkin ambil sedikit masa,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa keadaan adalah yang sebaliknya.
Malah penduduk menganggap proses pembersihan agak lembab dan keadaan itu sebenarnya membuatkan mereka bertindak sendiri dengan membayar upah kepada syarikat luar.
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Menurut Hasbah Mat Dom, keadaan lebih mengecewakan apabila operasi pembersihan lebih pantas sekiranya wujud kehadiran pihak kenamaan di laluan tertentu.
“Pembersihan banyak di kawasan luar bila ada menteri datang, bila orang besar datang dia bawa lihat lokasi yang cantik tetapi hakikatnya kawasan kediaman kami masih belum selesai,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.
Luahan sama yang turut dilontarkan Mohd Aris Ishak, yang berpendapat, usaha sendiri yang digerakkan oleh penduduk setempat jauh lebih pantas.
“Agak perlahan sebenarnya, kalau dari pagi memang tak nampak berubah jika nak bandingkan dengan usaha kami sewa syarikat luar untuk bersihkan kawasan,” katanya.
Sementara itu, melihat kepada tindakan pihak ketiga yang lebih efisien, Zaiton Ahmad juga mengambil langkah sama apabila sanggup mengeluarkan kos sendiri untuk kerja pembersihan di kawasan kediamannya.
“Bila tengok kawan-kawan semua dah selesai longgokkan sampah sarap di rumah, jadi kita pun ikut langkah sama, bayar kepada kontraktor luar untuk bersihkan kawasan,” ujarnya.
Itu antara keluhan yang disuarakan pihak penduduk berhubung situasi longgokan sampah pukal di kawasan kediaman mereka.

Kisah sepenuhnya akan disiarkan menerusi AWANI745 malam ini.
#KDEB #pasca banjir #sampah pukal
;