Banjir: Set minda kini berubah, perlu patuh nasihat berpindah - Pakar psikologi
Harits Asyraf Hasnan
Disember 24, 2021 13:27 MYT
Disember 24, 2021 13:27 MYT
KUALA LUMPUR: Bah besar yang melanda Lembah Klang pada Sabtu lalu dilihat telah mengubah set minda penduduk yang terjejas supaya segera berpindah apabila air mulai naik.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Profesor Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata perubahan itu berlaku apabila bencana banjir yang dilalui sebelum ini tidak sama dengan apa yang berlaku ketika ini.
"Saya boleh katakan, dari sudut psikologi, ada perubahan minda, di mana set minda telah berubah.
"Ini bermakna, pengalaman lampau mereka yang mengatakan bahawa banjir tidak teruk, air tidak naik, air akan surut dan sebagainya, semua ini telah berubah.
"Pada hakikat hari ini, air telah naik sampai ke bumbung, penghuni-penghuni terpaksa panjat ke atas bumbung dan sebagainya, kemudian ada masalah komunikasi, mereka lambat dapat bantuan.
"Tambahan pula, selama ini mereka rasa ada kemahiran menguruskan bencana ini, tetapi hari ini mereka tahu bahawa mereka tidak ada kemahiran untuk urus bencana sebegini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan yang dibuat Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, lantaran terdapat segelintir mangsa banjir di Selangor yang enggan mematuhi nasihat bomba supaya berpindah menyebabkan mereka terperangkap di rumah sebelum diselamatkan pasukan keselamatan itu.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzil berkata, bencana yang dilalui ketika ini jelas menunjukkan bahawa adalah penting untuk setiap mangsa banjir terus mematuhi nasihat pihak berkuasa apabila sesuatu arahan itu dikeluarkan.
"Pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba dan sebagainya menekankan tentang keselamatan.
"Sekarang adalah masa untuk kita letakkan keselamatan pada tahap yang sangat tinggi dan jangan ambil risiko.
"Kebanyakan rakyat kita ini suka ambil risiko daripada hendak menjaga keselamatan," ujarnya.
Menerusi sidang media pada Khamis, Mohammad Hamdan berkata sebanyak 215 operasi pemantauan awal dilakukan di lokasi berisiko dinaiki air termasuk Taman Sri Muda, Shah Alam.
Menurutnya, pihaknya turut menasihati penghuni segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, kaedah paksaan tidak boleh digunakan sebaliknya hanya menasihati penghuni berdasarkan risiko semasa kawasan tertentu.