Banjir seluruh Kuantan hasilkan 14,000 tan sisa

Astro Awani
Disember 12, 2013 07:30 MYT
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (lapan, kanan) berkenan meluangkan masa meninjau kesan kemusnahan akibat banjir di Perkampungan Cenderawasih. --fotoBERNAMA
Hampir 14,000 tan sisa banjir terhasil selepas banjir surut di bandar Kuantan dan pembersihan dijangka akan dapat diselesaikan pada penghujung Disember.
Ia adalah jumlah sisa buangan bagi 9,000 rumah yang terjejas dengan setiap rumah menghasilkan 1.5 tan sampah buangan.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kerja-kerja pembersihan selepas banjir perlu diberi perhatian serius bagi mengelak kemungkinan penularan wabak penyakit.
"Saya harap ini tidak akan berlaku, dan juga saya berharap disini semua penduduk-penduduk yang terlibat secara langsung harus memberi kerjasama," titah baginda kepada pemberita ketika meninjau kerja-kerja pembersihan yang dilakukan bersama pihak berkuasa, sukarelawan dan penduduk di Taman Chenderawasih di sini hari ini.
Terdahulu, baginda mendengar taklimat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Zulkifli Yaacob.
Tengku Abdullah turut memberi jaminan pihak berkuasa akan membantu memulihkan semula keadaan di tempat yang terjejas akibat banjir dan mengalu-alukan pertolongan sukarelawan meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya yang melancarkan pasukan sukarelawan JPA4U Isnin lepas, turut membantu membersihkan kawasan kediaman yang terjejas.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata setakat ini, JPA4U dianggotai kira-kira 300 penjawat awam dan mereka memberi bantuan termasuk makanan, pakaian serta barangan keperluan asas.
Beliau juga berkata usaha itu merupakan satu daripada tindakan JPA bagi merakyatkan perkhidmatan awam, yang juga merupakan sebahagian daripada 1M4U.
Hampir 150 kenderaan dan lebih 300 orang pekerja digunakan untuk tujuan pembersihan sisa banjir dan anggaran pembersihan adalah 1,500 tan sisa dalam lima hari.
#banjir #JPA #Kuantan #sisa sampah #Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah #Tengku Mahkota Pahang
;