Banjir: Selepas rumah tenggelam, muka pula melecur disambar api

Muhafandi Muhamad
Mac 16, 2022 11:00 MYT
Maziha bersama tiga orang anaknya. Selepas kejadian yang menimpa dirinya, dia terpaksa menerima rawatan di hospital selama dua hari. - Astro AWANI
RANTAU PANJANG: Niatnya hanya untuk mencari pendapatan dengan mengambil upah mengemaskan barangan yang musnah akibat banjir buruk di Rantau Panjang bulan lalu.
Namun peristiwa disambar api meninggalkan kesan buat seorang ibu tunggal tiga anak di Kampung Kursal.
Maziha Abdullah, 31, tidak menyangka peristiwa seminggu lalu, meninggalkan parut di muka dan badannya.
"Ketika itu saya pergi mengemas rumah mak saudara, lepas siap atas rumah saya ke halaman rumah saya dengan membawa anak lelaki saya.
"Ketika itu cuaca panas, sesuai untuk membakar barangan yang rosak. Semasa membakar, saya tidak tahu apa dalam itu, masa campak pakaian kali ketiga tiba-tiba meletup, api sambar muka saya, saya lari cari air," katanya.
Selepas mukanya disambar api, dia berlari mencari air bagi memadamkan api yang membakar baju dan rambutnya.
Selepas kejadian itu, dia mendapat rawatan di hospital selama dua hari.
Maziha mempunyai tiga orang anak, Mohd Afiq Fairul, 11, Mohd Mikhail Rizki, 10, dan Cahaya Afifah Munairah, 11 bulan.
Dia tidak mempunyai pendapatan tetap sebaliknya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Sementara itu, kakaknya Mastura Abdullah, 32, memaklumkan sewaktu kejadian banjir pada 27 Februari lepas, seluruh Kampung Kersal ditenggelami air.
"Air banjir naik melepasi paras bumbung, habis tenggelam semuanya.
"Kami berpindah ke PPS Gual Perik menaiki perahu. Kami terkejut, tak pernah tengok keadaan seperti ini sehingga saya demam selama empat hari," katanya.
Kesemua peralatan rumah yang didiami bersama adik dan 10 lagi ahli keluarga lain musnah.
Pada masa kini hanya tikar sebagai pengalas tidur.
#banjir #ibu tunggal #disambar api #melecur
;