Banjir: Selangor mula agih bantuan banjir RM1,000 Rabu ini

Bernama
Disember 27, 2021 22:16 MYT
Amirudin berkata mulai esok, kerajaan negeri juga akan mengenal pasti ahli keluarga yang meninggal dunia disebabkan banjir untuk mengagihkan bantuan RM10,000 menerusi inisiatif sama. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mula mengagihkan bantuan RM1,000 menerusi insiatif Selangor Bangkit kepada lebih 9,000 keluarga terjejas akibat banjir, seawal Rabu ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemberian secara berperingkat itu akan dimulakan dengan kategori pertama iaitu mangsa yang dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) awam di bawah kendalian kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata ia disusuli kategori kedua iaitu mereka yang berpindah di PPS kendalian pihak swasta dan persendirian.
"Mereka yang tinggal di PPS awam dan swasta, nama mereka telah didaftarkan, nombor kad pengenalan sudah ada. Ini semua tidak memerlukan pendaftaran semula," katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di Selangor hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Banjir: Jumlah mangsa di empat negeri catat penurunan
Menurut Amirudin, bagi kategori ketiga iaitu mereka yang tidak berpindah pula, kerajaan negeri akan mewujudkan pusat sehenti dan menggerakkan Pertubuhan Sukarelawan Selangor (SERVE) untuk pergi rumah ke rumah bagi mendapatkan nama mangsa bermula 3 Jan depan.
"Kita ada 9,000 lebih keluarga dan saya jangkakan dengan (keluarga yang tidak berpindah ke PPS), akan berlaku pertambahan mencecah 15,000 hingga 20,000 keluarga terkesan dengan banjir," katanya.
Beliau berkata mulai esok, kerajaan negeri juga akan mengenal pasti ahli keluarga yang meninggal dunia disebabkan banjir untuk mengagihkan bantuan RM10,000 menerusi inisiatif sama.
Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan Selangor membatalkan sambutan ambang tahun baharu yang dijadual sebelum ini dan akan digantikan dengan majlis tahlil, bacaan doa selamat serta zikir munajat kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di seluruh masjid negeri itu.
Katanya syarikat dan orang persendirian turut dinasihatkan membatalkan sambutan itu sebagai tanda menghormati serta bersimpati dengan kejadian banjir yang melanda bermula 18 Dis lepas dan mengakibatkan 25 kematian di negeri itu.
-- BERNAMA
#Banjir 2021 #Selangor #bantuan #Selangor Bangkit
;