Banjir Selangor: Gangguan operasi kutipan sisa pepejal, KDEBWM umum pelan tindakan
Astro Awani
Disember 21, 2021 22:32 MYT
Disember 21, 2021 22:32 MYT
KUALA LUMPUR: Terdapat gangguan dalam operasi kutipan sisa pepejal yang melibatkan beberapa lokasi yang dilanda banjir di Selangor, kata Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan, kerja-kerja kutipan sampah domestik dan pukal mengalami sedikit kelewatan dan kesukaran disebabkan terdapat kawasan yang ditutup serta beberapa lori mengalami kerosakan.
Susulan itu, katanya KDEBWM mengumumkan beberapa pelan tindakan bagi membantu kerajaan negeri dalam operasi pembersihan pascabanjir.
“Lebih 70 peratus atau 832 unit aset digerakkan seperti lori Armroll/RORO untuk membuat pembersihan pukal dan lori kompaktor untuk kutipan domestik di kawasan-kawasan yang terjejas di sekitar Klang, Shah Alam, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya, Sepang dan Kuala Langat.
"Aset- aset lain seperti High Pressure Water Jetter juga akan digunakan sekiranya perlu dan mendesak.
“Hampir 2,000 tenaga kerja serta kru digerakkan dan semua pasukan operasi memberikan tumpuan dan komitmen menyelesaikan kutipan pukal di kawasan-kawasan yang terjejas oleh bencana banjir ini di Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Sepang dan Kuala Langat.
“Tumpuan dan fokus pembersihan akan diberikan di kawasan-kawasan yang terjejas dan disasarkan kerja-kerja pembersihan akan dapat diselesaikan Jumaat 24 Disember 2021 ini,” katanya.
Dalam masa yang sama, KDEBWM juga memaklumkan akan terdapat kelewatan pada jadual kutipan terutama kutipan pukal di kawasan-kawasan tertentu dan memohon orang ramai memberikan kerjasama.
“Bagi melancarkan kutipan di kawasan yang tidak terjejas, pihak kami menasihatkan dan memohon agar penduduk untuk meletakkan sisa domestik di tong sampah atau kebuk sampah manakala sampah pukal di hadapan rumah atau di tong Roll-On-Roll-Off (RORO) yang disediakan.
“KDEBWM menasihati orang ramai agar menghubungi talian aduan setempat KDEBWM bagi sebarang aduan kelewatan atau keciciran kutipan sisa pepejal,” katanya lagi.