Banjir Selangor: Cuti lebih 500 anggota Pasukan Tindakan Segera dibekukan

Bernama
November 29, 2024 15:30 MYT
Keadaan Klang yang dilanda banjir hari ini. - Gambar/ FB kekpisey
SHAH ALAM: Cuti lebih 500 anggota Pasukan Tindakan Segera (Pantas) di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor dibekukan hingga Januari 2025 sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku ketika ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata langkah itu bagi memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya agar khidmat kepada masyarakat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
"Kita sentiasa siapa siaga dan akan kerahkan segera termasuk skuad PANTAS PBT. Semua dah mengetahui perkara ini dan kita tidak benarkan mereka ambil cuti ketika tempoh ini," katanya selepas merasmikan Hari Integriti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi bencana banjir di Selangor.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar hari ini dilaporkan berkata sebanyak 117 orang daripada 29 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Klang selepas hujan lebat sejak semalam, menyebabkan kawasan kediaman mereka dilanda banjir.
Sementara itu, Ng berkata kerajaan negeri sedang meneliti situasi banjir di Pantai Timur khususnya Kelantan, sebelum memutuskan untuk menggerakkan jentera PBT negeri untuk memberikan bantuan bagi meringankan beban mangsa terjejas.
"Kita serahkan perkara itu kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk buat keputusan. Ada keperluan kita akan cuba bantu sebab ini adalah bencana," katanya.
Media melaporkan hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu sebanyak 59,232 mangsa telah dipindahkan ke 221 PPS setakat pagi ini, berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 22,156 orang di 53 PPS, diikuti Tumpat (8,434 mangsa, 17 PPS); Kota Bharu (5,944 mangsa, 31 PPS); Kuala Krai (5,253 mangsa, 39 PPS); Tanah Merah (4,366 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (2,844 mangsa, lapan PPS).
-- BERNAMA
#Bah Kuning #monsun timur laut #banjir2024 #Selangor
;