Banjir Selangor: 9 maut termasuk sukarelawan, satu dikhuatiri hilang

Umavathi Ramayah
Disember 20, 2021 18:27 MYT
Setakat ini, sembilan disahkan maut dalam tragedi banjir di Selangor. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Sembilan individu termasuk seorang sukarelawan disahkan terkorban manakala seorang lagi masih hilang dalam insiden banjir yang melanda Lembah Klang, setakat ini.
Di Sri Muda, Shah Alam, enam mayat ditemukan termasuk dua dipercayai ibu dan anak yang dibawa keluar kira-kira pukul 4 petang, Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib memberitahu, identiti kesemua mangsa itu akan dimaklumkan selepas proses pengecaman mayat dilakukan oleh ahli keluarga.
"Kita masih belum mengenal pasti identiti mangsa, nanti kita akan maklumkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kawasan perumahan Sri Muda di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad memberitahu, dua lagi mangsa maut dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil, Sepang dengan identiti mereka belum dikenal pasti.
Sementara itu, katanya seorang lagi kes maut adalah membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, semalam.
"Seorang lelaki (mangsa) ditemukan terapung di tingkat bawah kediaman pangsapuri empat tingkat dalam paras air kedalaman 0.6 meter," katanya.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar perumahan Sri Muda, Kota Kemuning di Shah Alam mendapati kawasan itu masih lagi tiada bekalan elektrik.
Justeru kebanyakan kedai makanan dan kedai serbaneka terpaksa ditutup.
Situasi banjir di Lembah Klang ketika ini, terutama Selangor disifatkan luar biasa dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bertambah.
BACA LAPOR LANGSUNG ASTRO AWANI BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Hujan berterusan kadang-kala lebat selama dua hari mulai Khamis lalu di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air.
Setakat ini, rekod banjir di lapan negeri di Semenanjung Malaysia menunjukkan sejumlah 398 PPS telah dibuka dan melibatkan 50,566 mangsa dari 14,693 keluarga.
#Banjir Taman Sri Muda #mangsa banjir #Nor Hisham Mohammad #operasi SAR banjir
;