Banjir Segamat: Warga emas 'bermandi air mata', 70 lembu ternakan hanyut

Shuhada Abdul Kadir
Mac 6, 2023 10:41 MYT
Antara lembu ternakan Abdul Halim Yusof di Kampung Pogoh Tengah, Segamat yang gagal diselamatkan berikutan banjir. - Gambar Astro AWANI
SEGAMAT: Tiada apa yang dapat menggambarkan kekecewaan pasangan suami isteri warga emas selepas 70 ekor lembu ternakan mereka hanyut dalam kejadian banjir di Kampung Pogoh Tengah, di sini.
Abdul Halim Yusof, 60, berkata, bukan hanya terpaksa menanggung kerugian lebih RM300,000, bahkan, apa yang membuatkan hatinya pilu ialah mengenangkan haiwan-haiwan ternakan itu gagal diselamatkan.
Sebetulnya, ini bukan pengalaman menyedihkan buat Abdul Halim yang baru saja bersara sekitar sebulan lalu.
Sebaliknya, pada 2011, dia pernah berdepan situasi yang sama dan hampir berputus asa apabila lebih 90 ekor ternakannya turut hanyut.
Bagaimanapun, kata Abdul Halim, kali ini pengalaman dilalui berbeza apabila air naik terlalu pantas sehingga tidak sempat membuat sebarang persiapan dan hanya berjaya menarik keluar 14 ekor lembu ternakannya.
“Memang rasa kalau nak menangis tu bukan sekadar menangis tetapi sampai nak pengsan, namun saya terpaksa sabar dengan ujian kali ini.
“Dulu tahun 2011 pun ada banjir besar juga, tetapi sekurang-kurangnya waktu itu kami sempat buat persiapan sikit, tetapi kali ini air naik dengan sangat laju dan bukan sahaja ternakan saya hanyut, ternakan jiran-jiran lain turut berdepan situasi sama,” katanya ketika ditemui, di sini.
Ujarnya, lima daripada 14 ekor lembu yang sempat diselesaikan berada dalam keadaan kritikal berikutan terendam dalam banjir lebih 24 jam.
Katanya, dia kemudian bertindak menyembelih dua ekor daripada jumlah berkenaan dan diagihkan kepada orang kampung, sementara tiga ekor lagi gagal diselamatkan.
“Saya baru pencen bulan lepas dan keluarkan RM55,000 bagi membina pagar baharu di kandang di kandang ini menggunakan duit persaraan… apa yang jadi ini saya terpaksa reda lah.
“Pada awal banjir itu saya tekad cuba tarik lembu-lembu yang terendam dan yang mana nyawa-nyawa ikan saya terus sembelih dan agihkan pada orang kampung supaya mereka tidak terputus bekalan makanan,” kata Abdul Halim lagi.
Berhubung bencana yang melanda itu, dia berharap nasib petani dan penternak yang terjejas dengan banjir dapat diberi perhatian khusus oleh agensi terlibat.
#banjir segamat #warga emas #lembu ternakan hanyut #Kampung Pogoh Tengah
;