Banjir: Sayangkan tempat tinggal alasan penduduk enggan berpindah
Sharom Abu Bakar
November 28, 2017 07:21 MYT
November 28, 2017 07:21 MYT
Sayangkan tempat tinggal, tanaman dan haiwan ternakan menjadi alasan segelintir penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk enggan berpindah.
Sikap penduduk terbabit bukan sahaja menimbulkan kesulitan kepada pihak berkuasa tetapi membahayakan diri sendiri dan keluarga apabila terperangkap dalam banjir.
Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Hazali Zainal Abidin berkata, sebagai petugas banjir dia menggunakan pelbagai kaedah bagi memujuk penduduk terbabit untuk segera berpindah.
"Kebiasaannya mereka yang enggan berpindah ini sebilangan besarnya golongan wanita yang sudah berumur. Tetapi demi keselamatan mereka, kita hendaklah berusaha mencari jalan memujuk supaya mereka berpindah.
"Adakalanya saya terpaksa menggunakan kaedah psikologi," katanya yang bertugas di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Manir, Kuala Terengganu.
Seorang lagi petugas, Husairi Ibrahim berkata, dia mengakui tugas mengendalikan mangsa banjir tidak semudah yang disangkakan.
Selain melakukan kerja rutin seperti merekod dan mengemas kini mangsa banjir, dia juga terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah penghuni di pusat berkenaan yang adakalanya menguji kesabaran.
"Tetapi semua itu tidak melemahkan semangat saya untuk terus berbakti kepada setiap penghuni di pusat pemindahan ini.
"Semua masalah yang timbul saya akan cuba tangani dengan sebaik mungkin," katanya yang bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat sejak dua tahun lalu.
Katanya, tugas mengendalikan mangsa banjir memerlukan kerjasama erat semua agensi berkaitan seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia dan juga sukarelawan banjir.
"Kerjasama di peringkat kampung juga perlu bagi melancarkan kerja-kerja memindahkan mangsa banjir," tambahnya.
#alasan
#angkatan pertahanan awam
#banjir
#berpindah
#Hazali Zainal Abidin
#Husairi Ibrahim berkata
#Kuala Terengganu
#tempat tinggal