Banjir: 'Saya rugi RM40,000 dalam sekelip mata, 5,000 pokok cili musnah' - Pekebun
Fareez Azman
Disember 24, 2021 17:48 MYT
Disember 24, 2021 17:48 MYT
DENGKIL: Banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor sejak 17 Disember lalu memberi kesan kerosakan besar ke atas hampir kesemua mangsa terlibat.
Tidak terkecuali, pekebun cili fertigasi, Ahmad Irham Mohd Noor, 40, yang hilang punca pendapatan selepas kebunnya ditenggelami air di Kampung Sri Tanjung beberapa hari lalu.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, paras kedalaman bah yang melanda kawasan itu hampir 2 meter sekali gus menenggelamkan kira-kira 5,000 pokok cili di kebun berkenaan.
"Kebun hari ini kerugian lebih kurang RM40,000. Hari tu dah mula tanam (semaian) baharu... baru sebulan ditanam.
"Banyak baja baru beli, semua dah ganti baharu, tapi semua tenggelam.
"Nak buat macam mana. Kita minta pihak sepatutnya (memberi perhatian dan) menolong (golongan) petani dan penternak. Selain rumah mangsa banjir (menerima kesan), pekebun juga dan petani juga terkesan," kata bekas jurufoto sebuah agensi media itu.
Mengenangkan nasib yang menimpanya, Ahmad Irham terpaksa cekalkan hati dalam memulakan semula kebun cilinya selepas ini.
Namun yang merungsingkannya, modal yang besar diperlukannya untuk tujuan itu.
"Kalau dah terjejas macam ni, pendapatan semua tak ada. Nak mula baru, semua kena ada modal, kena perlahan-lahanlah cari.
"Cili ni akan dituai hujung Januari depan, anggaran pokok dalam 5,000 pokok tengok hasil menjadi hasil lebih kurang 3 hingga 4 tan tapi awal-awal dah musnah.
"Itu pun nak dimodalkan baru, jadi kena perlahanlah untuk naik balik," jelasnya lagi dalam nada sebak.
Menceritakan bibit-bibit kejadian, Ahmad Irham mengimbas, paras air banjir waktu itu sangat pantas menenggelamkan kawasan kampung terbabit termasuk tapak kebunnya pada Sabtu lalu.
"Masa kejadian itu saya ada sini (kebun). Jam 8 pagi air naik perlahan, tapi jam 9 hingga 10 pagi memang mendadak air naik," ujarnya.
Namun tambah Ahmad Irham, beliau bersyukur dapat menyelamatkan diri ketika kejadian.
Selain 5,000 batang pokok cilinya, antara yang turut musnah adalah tapak semaian, peralatan dan mesin berkebun.
Hanya satu yang diharapkan Ahmad Irham - agar pihak berwajib terutama berkaitan pertanian dapat tampil membantunya bangkit semula.
"Rasanya down sangat, tapi semangat kena kuat untuk teruskan hidup. Inilah (perbelanjaan yang telah dibuat) salah satu modal baru daripada MSS NSTP dulu.. ini modal untuk hidup baru selepas pencen nak jadi petani. Dah keluar modal kena pula macam ni.
"Siapa-siapalah yang boleh tolong saya.. jabatan berwajib tolonglah tengok semua ini.
"Semua tapak semaian, rumah, mesin, enjin, segala-galanya... tong air saja yang tinggal, lain semua hilang. Baja untuk musim baharu semua habis kerugian dalam RM40,000. Terduduk juga nak mulakan balik, terpaksalah kena buat sebab takda kerja lain nak buat," katanya lagi.